Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam (tengah) beramah mesra bersama sebahagian pelatih yang telah tamat latihan dan menerima sijil turut kelihatan Datuk Saravanan Murugan (dua kiri) pada Majlis Graduasi Polis Bantuan 2017 di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 06 JULAI 2017
KUALA LUMPUR – Presiden MIC,  Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berharap seramai 256 graduan polis bantuan yang direkrut dibawah Dana Pembangunan Sumber Manusia MIC memberi imej yang cemerlang dan terbaik.

“Kerana apabila kita mahu mengumpul 500 pemuda dalam kalangan komuniti India menerusi program khusus ini, sangat susah. Kebanyakannya bertatu pada badan, mempunyai rekod jenayah lampau polis dan sebagainya sehingga terpaksa menapis dan mendapat jumlah sedikit.
“Pun begitu, kita berjaya apabila lebih 256 orang hari ini adalah perlu menjaga tingkah laku ketika memulakan perkhidmatan nanti,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Graduasi Polis Bantuan 2017 melibatkan 256 pemuda India hari ini.
Beliau  juga mengingatkan graduan India supaya menjaga tingkah laku dan tidak menyalahgunakan tanggungjawab yang diberi itu.
“Selebihnya kita akan merekrut untuk menjalani latihan ini pada masa sesuai untuk mencapai sasaran kuota 500 orang pemuda India dan proses inilah akan membantu memajukan generasi muda India secara total,” katanya.
Sementara itu, seramai 30,000 orang polis bantuan bertauliah dan berdaftar dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah dikerah ke pelbagai agensi di negara ini, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Tajuddin Md. Isa.
Menurutnya, sebanyak 230 agensi menggunakan perkhidmatan polis bantuan dalam segala bidang industri yang diperlukan.
“Mereka dilatih dengan latihan menyerupai polis dan menjadi graduan untuk memberikan perkhidmatan secara cekap berdepan segala cabaran dari segi mental dan fizikal.
“Ia membantu polis bantuan menjalankan tanggungjawab kepada komuniti dan masyarakat dalam membendung jenayah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Tajudin  menjelaskan, polis bantuan apabila memulakan perkhidmatan nanti akan mempunyai kuasa dalam kawasan jagaan masing-masing seperti menangkap dan menggari penjenayah.
Mereka juga perlu menyerahkan mereka yang ditangkap kepada balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
“Mereka disediakan gari untuk digunakan dan jika ada keperluan senjata akan dibekalkan dengan menjalani latihan terlebih dahulu di lokasi yang diperlukan seperti di premis berisiko tinggi seperti bank dan sebagainya. – MalaysiaGazette