MADRID – Gergasi La Liga, Real Madrid secara rasmi berjaya mendapatkan pemain pertama mereka musim panas ini apabila membeli Theo Hernandez dari kelab pesaing mereka, Atletico Madrid.

Real dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua kelab telah mencapai kesepakatan perpindahan untuk Hernandez dengan kontrak selama enam tahun akan datang.

Hernandez dibeli Madrid dengan nilai sekitar €26 juta, lapor Marca.

Musim lalu, bek kiri berusia 19 tahun itu berjaya menarik perhatian ramai apabila dipinjamkan ke Deportivo Alaves,

Hernandez didakwa telah menolak untuk melanjutkan kontraknya di Atletico dan juga menolak tawaran dari beberapa kelab demi Real.

Hernandez belum pernah bermain dalam perlawanan utama bersama Atletico walau sudah bergabung di akademi kelab sejak usianya 11 tahun.

Sepanjang musim lalu, namanya menjadi sebutan setelah sering tampil bersama Alaves, termasuk membantu mereka ke final Copa del Rey walaupun kalah kepada Barcelona.

Pemain ini akan diperkenalkan kepada warga Santiago Bernabeu pada Isnin depan  selepas menjalani ujian kesihatan.

Hernandez mengikut jejak pemain Atletico lain yang berhijrah ke Real, seperti Juanito, Hugo Sanchez, Santiago Solari dan yang paling terkenal Raul Gonzalez. – MalaysiaGazette