KUALA LUMPUR – Dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa dendam politik hanya memakan diri sendiri.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, bekas Perdana Menteri itu lupa penyingkiran Anwar daripada pentadbiran kerajaan adalah ketika zaman pemerintahannya pada 1998.
“Hari ini Anwar menjalani hukuman atas sebab kes peribadi di bawah kesalahan jenayah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Jadi, tidak timbul persoalan penasihat PKR itu mangsa dendam politik seperti didakwa.
“Anwar telah melalui semua proses yang dibenarkan di bawah undang-undang untuk mempertahankan dirinya termasuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Semalam, dalam temubual dengan akhbar The Guardian, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, jelas sekali keputusan mahkamah ke atas Anwar dipengaruhi kerajaan dan mampu memujuk Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan diraja kepadanya.
Kata beliau, dalam keadaan Anwar mampu terlibat kembali dalam politik dan menjadi Perdana Menteri, belliau setuju dan tidak membantahnya.
Menurut Azalina yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, tuduhan yang dibuat oleh Dr. Mahathir bahawa terdapat campur tangan dalam keputusan kes liwat Anwar secara langsung mempersoalkan kebebasan dan integriti Badan Kehakiman.
“Ini juga adalah satu penghinaan kepada perundangan dan sistem demokrasi negara,” ujar beliau.
Azalina turut menegaskan, tindakan Dr. Mahathir yang kerap kali membuat pusingan-U juga menunjukkan sikap sebenar pembangkang yang sanggup menggadai prinsip hanya kerana mahu memenuhi kepentingan peribadi. – MalaysiaGazette
















