PETALING JAYA – Sekumpulan penduduk PPR Lembah Subang 1 hari ini menyanggah kenyataan Exco Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang menuduh Tan Sri Noh Omar cuba bermain politik dalam isu perumahan berkenaan.
Jurucakapnya, Abu Taib Wirid berkata, tuduhan Iskandar itu tidak berasas kerana banyak kerja baik pulih telah dilakukan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu walapun kurang setahun memegang jawatan tersebut.
“Apa yang kita lihat hari ini Tan Sri Noh telah bekerja keras membantu PPR Lembah Subang ini, seingat saya beliau telah melawat kawasan ini lebih enam kali.
“Tapi Datuk Iskandar hanya sekali sahaja datang. Siapa sebenarnya yang bermain politik, adakah Datuk Iskandar atau Tan Sri Noh? Beliau telah meluluskan peruntukan baiki lif sebanyak 23 unit dan sebagainya,” katanya pada sidang media di pekarangan PPR Lembah Subang 1, di sini, hari ini.

Akhir bulan lalu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor itu mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Noh kerana lebih suka berpolitik dan ini merugikan Kabinet.
Pertikaman lidah antara Iskandar dan Noh bermula apabila Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mendakwa kerajaan negeri Selangor tidak mengambil berat tentang pangsapuri-pangsapuri di kawasan Dewan Undangan Negeri Chempaka.
Abu Taib juga menegur Exco Selangor dari Pas itu agar tidak membuat tuduhan melulu, sebaliknya Iskandar perlu turun padang melihat keadaan sebenar keuzuran bangunan dan persekitaran PPR Lembah Subang 1.
“Jangan duduk di pejabat hanya bercakap dengan pemberita bahawa Tan Sri Noh hanya berpoltik dan menuduh kerajaan pusat mahu konfrontasi dengan kerajaan negeri.
“Pada pandangan saya ia tidak berlaku, Tan Sri Noh dengan keikhlasan telah menjalankan tugas dengan begitu efisien dan semangatnya nak memperjuangkan nasib rakyat teraniaya di Selangor,” tegasnya.
Katanya lagi, jika Iskandar benar-benar mahu menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Selangor, beliau sewajarnya membenarkan kerajaan pusat membaik pulih lif PPR Lembah Subang 1 tanpa sebarang halangan.
“Malangnya hari ini ada halangan-halangan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya tidak membenarkan lif itu dibawa masuk, ini yang kami difahamkan berlaku.
“Sepatutnya dia memberikan kerjasama kepada Tan Sri Noh untuk melaksanakan kesejahteraan dan pembangunan di PPR seluruh Selangor,” ulasnya.
Pada 21 Mei lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM16 juta bagi membina 23 unit lif yang dilengkapi kad akses keselamatan di PPR Lembah Subang 1.
Projek membina lif itu dijangka mengambil masa antara lima hingga enam bulan untuk disiapkan
Tambahnya, pada masa ini KPKT telah menunaikan janji untuk membaik pulih beberapa infrastruktur yang terjejas di PPR Lembah Subang 1 termasuk sistem perparitan, sistem kumbahan dan menurap jalan yang rosak teruk.
“Datuk Iskandar turun sekali ke PPR Lembah Subang 1 yang dikatakan sudah selesaikan kerja. Beliau hanya cakap nak tuntut RM60 juta daripada KPKT, itu pun dia bersama Menteri Besar Sleangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















