Reaksi ceria Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam kelihatan ceria ketika menunjukkan alat bantuan pernafasan yang dipamerkan di gerai pameran Primed Medical Sdn. Bhd. ketika menghadiri majlis pelancaran Simposium Antarabangsa Kesakitan Pediatrik yang ke-11 di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 JULAI 2017.
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menyasarkan kesemua hospital kerajaan di negara ini sebagai kawasan bebas sakit menjelang tahun 2020.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ketika ini hanya tiga daripada 12 hospital kerajaan sudah diisytiharkan sebagai kawasan sedemikian.
Subramaniam juga mengakui kementerian mempunyai doktor-doktor pakar bagi membantu pesakit bebas daripada penyakit secara berkesan tanpa penderitaan lama.
“Jika beberapa puluh tahun dahulu selepas kita menjalani pembedahan, wajib melalui satu tempoh rawatan di mana sakit itu terlalu teruk yang perlu dilalui pesakit.
“Kini dengan perkembangan teknologi sains perubatan, gabungan pemberian ubat moden dan tradisional dengan teknik rawatan kepelbagaian, kita sudah boleh mencapai status di mana pesakit bebas kesakitan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di ibu negara.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Simposium Antarabangsa Kesakitan Pediatrik yang ke-11 di sini hari ini.
Simposium yang merupakan platform berkongsi maklumat dan pengetahuan itu dihadiri lebih 400 pakar dan pegawai bidang kawalan kesakitan tempatan dan antarabangsa.
Subramaniam berkata, kini terdapat antara 10 hingga 12 hospital kerajaan yang diisytiharkan hospital bebas sakit antaranya Hospital Putrajaya, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dan Hospital Selayang.
“Kita mempunyai rancangan untuk memperluaskannya ke hospital kerajaan dan juga swasta yang lain di negara ini.
“Dengan melatih tenaga kerja mahir  secara berterusan, saya optimis objektif itu dapat dicapai seperti yang ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette