Home Nasional 8 anggota polis direman susulan tahanan bolos

8 anggota polis direman susulan tahanan bolos

GEORGETOWN – Lapan anggota polis bersama seorang lagi individu direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan seorang tahanan dadah bolos semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen, Ahmad Tajuddin Zain.

Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 hingga 45 tahun.

Polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian.

Dalam kejadian semalam, seorang tahanan dadah berusia 43 tahun melarikan diri selepas van polis yang dinaiki dari Balai Polis Bayan Baru rosak di persimpangan lampu isyarat dekat Relau.

Ketika kejadian, suspek dan dua tahanan itu dalam perjalanan ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan.

Suspek dikatakan melarikan diri melalui tingkap semasa van berkenaan berhenti di tepi jalan kerana masalah brek. – MalaysiaGazette