Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – DAP mendakwa tidak tahu apa kesalahannya membuatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula.

Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke menegaskan bahawa sepanjang empat tahun sejak pemilihan semula CEC pada 29 September 2013, ROS tidak pernah sama sekali memberikan sebarang notis secara bertulis kepada DAP.

“Sehingga hari ini, kami tidak tahu apakah ‘kesalahan’ yang telah kami lakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban mendakwa pemilihan semula CEC dalam Kongres Khas DAP pada 29 September 2013 berpandukan sepenuhnya kepada peraturan-peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan DAP.

Beliau juga menyelar propaganda daripada Barisan Nasional ekoran masalah yang sama yang didakwanya memutarbelitkan fakta termasuk mendakwa apa yang berlaku bagi menyelamatkan kepimpinan tertinggi DAP.- MalaysiaGazette