KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menerima saman berjumlah RM40.8 juta daripada sebuah syarikat kejuruteraan tempatan akibat pelanggaran kontrak pembayaran.

Saman tersebut difailkan oleh Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd. di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 April lalu.

Menerusi tuntutan saman itu, Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd. dan UiTM telah membuat perjanjian projek membekal, menghantar, memasang, mengujiguna dan mentauliahkan keseluruhan mesin dan peralatan bagi semua kurus di Kampus Baru UiTM Puncak Alam, Selangor.

Perjanjian itu melalui Surat Setuju Terima Tawaran pada 9 Disember 2010 dengan nilai kontrak RM134.5 juta.

“Berdasarkan terma-terma perjanjian projek tersebut, selepas kerja-kerja siap, prosedur pembayaran secara berperingkat perlu dibuat kepada plaintif iaitu Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd.

“Namun UiTM selaku defendan telah dengan salah, defektif, tidak sah dan melanggarkan undang-undang kerana membuat satu pembayaran berjumlah RM11 juta kepada seorang individu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

“Pembayaran yang salah itu telah mengakibatkan kemudaratan kewangan yang teruk dan serius kepada plaintif yang telah menanggung kerugian amat tinggi kerana terpaksa mencari sumber-sumber kewangan lain dengan membuat pinjaman daripada pihak-pihak ketiga dan akhirnya menjatuhkan bajet kewangan,” katanya Mutiara Gemilang dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut peguam syarikat Ismail Mohamed Arifin, syarikat tersebut mendakwa menanggung kerugian kira-kira RM40.8 juta kerana pelanggaran kontrak oleh UiTM dan senterusnya memfailkan saman terhadap universiti itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Ram Reza & Muhammad.

Jelasnya, Mutiara Gemilang Engineering sudah bersiap sedia untuk mengemukakan bukti-bukti dan keterangan ketika prosiding mahkamah kelak.

Sementara itu, sebutan semula kes akan didengar pada 19 Julai 2017 iaitu Selasa pukul 10 pagi. – MalaysiaGazette