Home Nasional Suspek tembak pesawat MH17 didakwa akhir tahun ini

Suspek tembak pesawat MH17 didakwa akhir tahun ini

PUTRAJAYA – Suspek-suspek yang menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines MH17 akan didakwa menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kumpulan siasatan bersama (JIT) telah menyoal lebih daripada 200 individu dan memeriksa sejumlah besar data yang diperoleh.

“Kita yakin pihak-pihak yang bertanggungjawab menjatuhkan pesawat MH17 akan dibicarakan awal akhir tahun ini atau awal tahun depan.

“Ia adalah kemalangan tragis dan kita akan menuntut keadilan bagi ahli-ahli keluarga mangsa pesawat itu,” katanya selepas menghadiri majlis memperingati tahun ketiga tragedi itu bersama keluarga-keluarga mangsa.

Tiong Lai berkata, JIT mahu individu yang melancarkan peluru berpandu kepada pesawat berkenaan memaklumkan apa yang berlaku pada hari tersebut.

Dalam kejadian yang berlaku pada 17 Julai 2014, MH17 yang sedang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam ditembak oleh peluru berpandu semasa berada di ruang udara Ukraine.

Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal maut.

Lembaga Keselamatan Belanda yang menyiasat tragedi itu mendakwa pesawat Boeing itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia. – MalaysiaGazette