Gambar hiasan

NELSPRUIT – Tiga ekor singa yang terlepas dari Taman Negara Kruger (KNP) di Afrika Selatan telah dibunuh.

Seorang petani yang tinggal berhampiran KNP telah menembak salah singa jantan apabila dia mendapati ketiga-tiga haiwan itu sedang membaham seekor lembu, kata seorang jurucakap taman.

Petani itu kemudian menembak seekor lagi manakala seekor lagi melarikan diri, tambah Janine Raftopoulos.

Pasukan renjer yang terlibat mengesan singa-singa yang melarikan diri itu memutuskan menghapuskan dua ekor lagi.

Taman Negara Afrika Selatan berkata, langkah itu dibuat kerana singa-singa yang telah memakan daging lembu akan mengubah tingkah-lakunya.

Malah, adalah mustahil untuk membawa singa-singa itu kembali ke taman negara.

Lagipun, sekali singa-singa itu melarikan diri, haiwan tersebut akan terus berusaha untuk keluar dari taman negara tersebut.

“Keputusan itu dibuat oleh pihak veterinar dan renjer yang bertahun-tahun pengalaman,” kata Raftopoulos.

Laporan awal memaklumkan terdapat empat ekor singa terlepas pada Ahad lalu tetapi KNP mengesahkan hanya tiga sahaja.

KNP adalah salah satu rizab taman negara yang terbesar di Afrika meliputi kawasan seluas 19,485 kilometer persegi.

Tidak dapat dipastikan bagaimana tiga ekor singa itu dapat melarikan diri kerana kawasannya dipagar.

KNP tidak menolak kemungkinan ia berlaku akibat tekanan populasi.

Kes terbaharu itu berlaku selepas lima singa melarikan diri dari taman yang sama pada bulan Mei.

Namun hanya empat daripada haiwan itu berjaya ditangkap. – MalaysiaGazette