Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan logo baharu Pakatan Harapan di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat, Petaling Jaya, hari ini. Foto Nizam Zain.
PETALING JAYA – Selepas dikritik hebat kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) didakwa mahu menguasai Pakatan Harapan, Majlis Presiden PH mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai timbalan presiden sahaja.
Keputusan itu diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH hampir lima jam di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini.
Menurutnya, stuktur organisasi baharu PH menyaksikan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tergugat sebagai Ketua Umum manakala isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim kekal sebagai Presiden gabungan pembangkang itu.
Bagaimanapun dalam stuktur baharu PH itu kedudukan Mahathir tidak berubah iaitu sebagai pengerusi pakatan pembangkang.
Selain Muhyiddin, dua lagi pimpinan pembangkang dilantik sebagai timbalan presiden PH iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.
Pengerusi Parti Pribumi Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohammad (tengah) bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mesyuarat Pakatan Harapan di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya. Foto Nizam Zain
Struktur baharu PH turut menyaksikan pelantikan tiga naib presidennya iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Salahuddin Ayub dan
Chong Chieng Jen.
Majlis Presiden PH juga turut melancarkan logo baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan sebahagian daripada syarat untuk mendaftarkan pakatan pembangkang kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Logo baharu itu berlatarbelakangkan warna merah di mana tertulis perkataan harapan dan bentuk anak panah menghala ke atas. – MalaysiaGazette