Suasana orang ramai yang mengambil peluang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama operasi. foto SAFWAN MANSOR, 16 DISEMBER 2016

KUALA LUMPUR – Migrasi kad MyRapid yang sepatutnya berakhir esok telah dipanjangkan ke 31 Julai ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Prasarana Bhd., setakat semalam lebih daripada 190,000 kad MyRapid telah dimigrasi kepada kad MyRapid Touch ‘n Go yang boleh digunakan di semua rangkaian pengangkutan awam Kuala Lumpur.

Tempoh melanjutkan itu bagi memberi ruang kepada pengguna yang masih belum menukar kad masing-masing supaya dapat berbuat demikian.

Ini termasuk kepada pemegang kad yang mungkin berada di luar Lembah Kelang sepanjang tempoh sebulan lalu.

Pemegang kad yang masih belum menukar kad masing-masing bagaimanapun mungkin menghadapi masalah untuk menggunakan pengangkutan MRT laluan SBK yang dijadualkan bermula Isnin ini.

“Pemegang MyRapid yang masih belum menukar kad masing-masing sama ada secara sengaja ataupun tidak perlu membeli token di Pejabat Perkhidmatan Pelanggan MRT sekiranya mahu menggunakan pengangkutan berkenaan.

“Ini mungkin menyebabkan kelewatan atau ketidakselesaan kepada pemegang kad,” katanya.

Prasarana telah menyediakan empat Pusat Migrasi Kad di hab bas Pasar Seni dan stesen LRT Seri Rampai, Awan Besar dan Subang Jaya yang beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi sehingga 7 malam sehingga 31 Julai ini.- MalaysiaGazette