Polis IPK KL di lokasi kejadian seorang warga Indonesia dipercayai mati dibunuh di kawasan kawasan pembinaan apartmen di Wangsa maju malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang warga Indonesia yang belum dikenalpasti jantina dtemui mati disyaki dibunuh di Wangsa Maju malam tadi.

Kejadian difahamkan berlaku di sebuah tapak pembinaan Apartmen Residensi Season Garden, Wangsa Maju.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur  Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa merupakan seorang warganegara Indonesia mati ditetak dengan menggunakan senjata pada bahagian kepala dan tangan kanan.

“Forensik IPK KL telah bergegas ke lokasi kejadian setelah polis menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali sekitar 10.50 malam mengadu seorang individu ditemui tidak sedar diri disyaki meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian polis menemui kesan percikan darah pada pintu masuk bilik.

“Terdapat dua kesan tetakan pada bahagian belakang kepala, dua kesan tetakan pada bahagian kiri dan kanan di belakang badan dan satu tetakan pada bahagian pergelangan tangan kanan,” katanya menerusi pesanan WhatsApp hari ini.

Tambah beliau mangsa dikenalpasti berusia 41 tahun dan polis sedang memburu suspek yang belum dapat dikenalpasti lagi.

Motif kejadian sedang disiasat polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette