Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersalaman dengan tetamu yang turut hadir pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JULAI 2017
KUALA LUMPUR – Persediaan yang mantap Pergerakan Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU-14 diyakini mampu mempertahankan kerajaan sedia ada.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tahap penerimaan peringkat akar umbi yang sangat menggalakkan memberi isyarat kerajaan BN bakal mempertahankan kejayaan.

“Persediaan UMNO dan BN dalam persediaan ke PRU-14, kami berada dalam keadaan siap siaga. Mereka memberi komitmen dan dedikasi yang amat luar biasa. Mereka bertugas dengan penuh ikhlas dan disiplin.

“Saya percaya ini (kejayaan) boleh jadi kenyataan kerana Wanita UMNO dan BN sentiasa mengamalkan politik perkhidmatan kepada rakyat. Kita tiada agenda lain, kita berkhidmat kepada rakyat. Penerimaan setakat ini saya berpuas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri UMNO di sini hari ini.

Tambah Shahrizat, dedikasi serta budaya bekerja dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Wanita BN selari dengan matlamat BN untuk mempertahankan kerajaan sedia ada melalui PRU nanti. – MalaysiaGazette