Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz melancarkan EZCab pada Majlis Pelancaran EZCab di MATIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2017
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mempertimbangkan cadangan memperkenalkan kursus khas untuk pengusaha teksi tradisional menjadi pemandu pelancong.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia satu usaha terbaik untuk memastikan industri teksi mempelbagaikan perkhidmatan mereka kepada pelancong ke negara ini.
Katanya cadangan itu boleh diperkenalkan sekiranya pihak syarikat dan pengusaha teksi tempatan memberi sokongan.
“Kenapa tidak? Kita boleh memberi kursus khas percuma tanpa bayaran melatih pemandu teksi yang berminat menjadi pemandu pelancong.
“Kita boleh membawa cadangan ini kepada pertimbangan jemaah menteri sekiranya mendapat sokongan dari pengusaha teksi.
“Ada sesetengah orang menyewa teksi untuk melawat tempat pelancongan tanpa sewa van, maka kita juga boleh sediakan pelekat khas menunjukkan pemandu teksi itu menghadiri kursus pemandu dengan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan aplikasi e-hailing, EzCab yang pertama kali melaksanakan butang kecemasan dalam perkhidmatan teksi.
Mohamed Nazri mengharapkan lebih 30,000 pemandu teksi yang ada di negara ini tampil kedepan mengambil bahagian dalam perkhidmatan e-hailing kerana kerajaan tidak mempunyai cara lain memajukan  mereka melainkan mengikuti arus perkembangan teknologi.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif EzCab, Raymond Yap Biow Seng berkata, aplikasi itu terdiri daripada butang panik yang dilengkapi dengan tiga butang panggilan kecemasan iaitu talian kecemasan 999,  pusat perkhidmatan 24 jam EzCab SOS, dan panggilan terus ke nombor kecemasan kenalan rapat yang dimasukkan ketika mendaftar EzCab dalam talian.
“Butang ini juga dilengkapi dengan sistem GPS di mana jika berlaku apa jua jenis kecemasan sama ada kepada penumpang atau pemandu teksi, kami (EzCab) boleh mengesan lokasi keberadaan mereka dan akan bertindak segera.
“Pemandu teksi tradisional sebelum mendaftar dengan EzCab wajib diiktiraf SPAD dan kita akan memangtau selama sebulan sepanjang tempoh percubaan sekiranya mereka melakukan sebarang kesalahan dan tindakan susulan.
Perkhidmatan EzCab yang boleh didapati di sekitar Lembah Klang, Seremban, Johor Bahru, Sabah dan tidak lama lagi,  Pulau Pinang dan Melaka ini kini mempunyai lebih 2, 500 pemandu teksi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Pengakutan Awam Darat.- MalaysiaGazette