Peniaga, Ishak Shaari menyusun ikan di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. ketika tinjauan MalaysiaGazette
KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mencari mekanisme sesuai untuk menyelaraskan harga ikan dalam pasaran pada harga berpatutan.

Timbalan Menterinya Datuk Henry Sum Agong berkata KPDNKK akan mengadakan rundingan dengan pembekal serta pihak berkaitan bagi mendapatkan maklumat tepat dan cadangan mereka dalam menyelesaikan masalah itu.

“Perbincangan juga melibatkan antaranya pemborong, LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) dan pihak berkaitan.

“KPDNKK sedang mencari jalan dan kita bukan hanya mahu supaya harga ini dapat diturunkan tetapi dapat diselaraskan untuk manfaat pengguna,? katanya kepada pemberita selepas melawat syarikat pengeluaran minyak masak di kawasan perindustrian Indera Mahkota di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat Pasar Besar Kuantan bagi meninjau barangan jualan di situ. Turut serta Timbalan Ketua Pengarah PPDNKK Suhaimi Mat Sari.

Sementara itu, Suhaimi berkata KPDNKK telah melakukan pemantauan susulan laporan kenaikan harga ikan yang tular dalam media sosial baru-baru ini dan akan mengadakan perjumpaan dengan semua pihak berkaitan, termasuk nelayan dalam isu tersebut.

Langkah itu, katanya, adalah bagi mengesan punca kenaikan harga ikan dan tindakan boleh diambil sekiranya terdapat kesalahan dilakukan pihak berkaitan sehingga menimbulkan masalah itu.

— BERNAMA