MISDEC

MELAKA – Dua beranak yang ditahan reman sejak 12 Julai bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan penyelewengan wang RM4 juta milik Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (Misdec) dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Mereka dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000 dengan dua orang penjamin setiap seorang.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Mohd Anuar Ostadi membenarkan dua beranak yang masing-masing berumur 76 dan 43 tahun itu dibebaskan setelah tempoh reman terhadap mereka selama tujuh hari berakhir hari ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 10 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.

Pada 11 Julai lalu, kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam salah guna kuasa sejak tahun 2014 hingga tahun 2015 dan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

— BERNAMA