Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Malabari Malaysia 2017 di Kompleks Surau Malabar Hidayatul Islam Selayang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 29 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyokong sepenuhnya langkah Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Yazid Ramli mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung penggunaan “Bin Abdullah” pada anak tidak sah taraf.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu selari dengan saranan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa setiap anak tidak sah taraf tidak dibenarkan dibinkan kepada nama bapanya.

“Fatwa Kebangsaan tidak mengizinkan anak-anak tidak sah taraf ini dibinkan kepada nama bapanya.

“Hukum tetap hukum, JPN patuh kepada keputusan Majid Fatwa Kebangsaan. Oleh kerana itu, kerajaan akan merayu semula ke Mahkamah Persekutuan agar keputusan itu dibatalkan,” katanya dalam Majlis ramah mesra Aidilfitri Malabari Malaysia 2017 di Kompleks Surau Malabar Hidayatul Selayang, hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

JPN sebelum ini memutuskan untuk membuat rayuan berkenaan menggunakan khidmat Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali bagi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

“Di dalam keadaan ini, kita umat Islam mesti bersatu untuk bersetuju agar agama Islam dihormati.

“Kita tidak mahu mana-mana keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dicabar oleh mana-mana pihak samada individu ataupun ada sistem perundangan lain yang membuat keputusan diluar Majlis Fatwa Kebangsaan. Itu pegangan kita,” katanya lagi dihadapan lebih 2,000 komuniti Malabari.

Mahkamah Rayuan pada Khamis lalu membenarkan anak-anak tidak sah taraf dibinkan kepada nama bapa masing-masing.

Keputusan itu yang dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki tidak sah taraf berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya. -MalaysiaGazette.