SPRM

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan tiada unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) adalah tidak benar sama sekali serta mengelirukan masyarakat.

Sebaliknya, pada 29 Disember 2016, tiga individu termasuk bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan isterinya telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas kesalahan pengubahan wang haram dan sebutan kes tersebut telah ditetapkan pada 8 Ogos 2017.

Ketiga- tiga tertuduh ialah Ag. Mohd Tahir Mohd Talib, 54 dan isterinya Fauziah Ag. Piut, 51 serta Lim Lam Beng, 62.

Ag. Mohd Tahir didakwa dengan 12 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Manakala Fauziah dan Lam Beng masing- masing didakwa dengan 19 pertuduhan yang bernilai RM 2.2 juta dan empat pertuduhan yang bernilai RM 2.38 juta di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.

SPRM dalam kenyataannya berkata, kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001 melibatkan hasil wang haram yang diperolehi daripada kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 oleh perasuah.

Mengikut seksyen tersebut, seseorang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Sehubungan itu, SPRM memohon agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan isu kes JANS.

SPRM juga akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih yang dimuat naik di mana-mana laman media sosial untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba mencemarkan reputasi SPRM.

Pengurusan Tertinggi SPRM sedang menimbang untuk membuat aduan polis terhadap mereka yang menyebar fitnah dalam media sosial supaya tindakan undang-undang terhadap mereka.

Sejak semalam, SPRM didakwa kononnya menyatakan kes JBANS tiada unusr rasuah telah ditularkan di media-media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette