KAJANG – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan enam individu dan memburu lapan lagi dalam operasi serentak selama tujuh jam di beberapa negeri berkaitan penyebaran maklumat palsu di Facebook.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Penyiasatan SKMM Datuk Mohd Shafie Harun berkata kesemua suspek ditahan di enam lokasi iaitu di Pendang, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan empat lagi di sekitar Selangor.

Beliau berkata kesemua mereka disyaki terlibat dengan penyebaran maklumat palsu kononnya sebanyak 74 kontena yang dikatakan mengandungi campuran daging babi dan kambing terlepas daripada pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Selain daripada enam suspek yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an yang ditahan, SKMM masih memburu lapan lagi suspek di seluruh negara menjadikan kesemuanya 14 individu dalam kes maklumat palsu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

“Penyebaran maklumat palsu sebegini mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam yang boleh menimbulkan keraguan masyarakat untuk tidak memakan daging,” katanya.

Menurut Mohd Shafie, empat kontena sahaja yang dirampas dan bukan 74 kontena seperti yang ditular melalui media sosial itu.

“Daripada empat kontena itu, hanya sebuah kontena sahaja mempunyai campuran daging babi serta kambing. Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak pasti kesahihannya dan merujuk laman web ‘Sebenarnya.my’ untuk merujuk setiap maklumat yang disebarkan di laman sosial.

“Kami faham yang mereka prihatin sebab itu mereka kongsi (posting) tetapi kami menasihatkan pengguna laman sosial ini supaya memastikan kesahihan sesuatu berita itu terlebih dahulu sebelum menyebarkannya,” katanya.

Pada bulan lepas, MAQIS merampas empat kontena berisi daging halal dan tidak halal di sebuah kargo kapal di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor. Pemeriksaan mendapati satu daripada kontena berkenaan menempatkan campuran daging kambing dan babi.

— BERNAMA