Sultan Nazrin Shah

PUTRAJAYA – Prinsip-prinsip asas dalam penggubalan Perlembagaan yang menyentuh tentang Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, walau apa sekalipun alasan dan muslihat matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ia ke peringkat mengadai nasib ummah pada hari ini dan masa depan.

Baginda yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menegaskan, ummah wajib berdiri teguh, berpendirian tegas dan tidak berundur walau setapak sekalipun.

“Setelah hampir 60 puluh tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah15 kali Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgahsana ketua utama negara, setelah 13 kali pilihan raya umum dilangsungkan dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan.

“Pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia amatlah penting diperingatkan semula malah wajib terus diperingatkan.  Segala persetujuan wajib dihormati.

“Perkara-perkara yang telah dipersetujui ketika penggubalan Perlembagaan Merdeka menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak harus diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek; tidak wajar dikorbankan kerana kepentingan untuk mengutamakan atau melindungi mana-mana pihak, baik organisasi mahupun individu,” titahnya ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Hotel Marriot Putrajaya di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan bersama Pengerusi Panel Perunding Perpaduan Ummah-Majlis Dakwah Negara, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Rahman (duduk tiga kiri) bergambar dengan sebahagian ahli panel ketika berangkat pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Hotel Marriot Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 05 OGOS 2017

Konvensyen tersebut adalah anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU), Majlis Dakwah Negara.

Ia julung-julung kali dianjurkan dengan hasrat membuka ruang wacana tentang peranan institusi raja menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara di mana institusi raja berperanan sebagai payung penyatuan dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

Titah Sultan Nazrin lagi, tata urus negara adalah satu kesenian yang perlu dikuasai terutama sekali usaha menyatukan warga dan memupuk kesetiaan kepada raja dan negara.

Baginda menjelaskan, tataurusan negara tidak berlaku semudah tulisan di kertas atau ungkapan di bibir.

“Tataurusan negara memerlukan seni urus yang halus, daya tadbir yang bijak, dilaksanakan melalui mekanisme yang berkesan, cekap dan telus; mekanisme tadbir yang tidak menyeleweng serta jauh daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Takhta  jatuh kerana jatuhnya negara, negara jatuh kerana resahnya rakyat.  Urus tadbir negara yang lemah menjadi punca keresahan rakyat.

“Urus tadbir yang pincang merosakkan negara, dan akhirnya melemahkan takhta.

“Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab Raja memerhati, mengawasi dan memiliki kekuatan untuk menegur para pentadbir agar mengurus tadbir negara, melaksanakan tanggungjawab secara amanah, telus, ikhlas dan jujur; memastikan kestabilan kerajaan, memajukan kemakmuran negara dan menjamin kesejahteraan warga.

“Tanpa warga, tidak akan terbina sebuah negara, tanpa negara tidak akan ada kedaulatan takhta,” titah Sultan Nazrin. – MalaysiaGazette