Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

PUTRAJAYA – Raja Melayu kini bukan lagi diibarat pasak negara, sebaliknya adalah tiang seri negara.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menegaskan, ini kerana jika digelar pasak ia, boleh dijual beli dan tukar ganti namun tiang seri lambang kekuatan tinggi kepada institusi Raja Melayu.

Jelas beliau, rakyat juga perlu melihat kepada nilai-nilai wataniah bangsa Melayu untuk dicontohi masyarakat dan kaum lain.

“Bagi saya, Raja Melayu bukan pasak tapi tiang seri jadi dengan itu kita mesti melihat balik nilai-nilai wataniah kepada bangsa Melayu untuk dicontohi oleh masyarakat dan kaum-kaum lain.

“Kalau hanya setakat pasak kita tidak akan sampai ke tahap kekuatan yang tinggi menjulang sebab kita hanya pasak sahaja.

“Selain itu, kita menzahirkan harapan supaya jawatankuasa atau pihak yang menjadi penasihat kepada Duli Yang Maha Mulia raja-Raja sentiasa rapat untuk memberikan nasihat bahawa institusi ini akan luput jika tidak cukup kerapatan dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panelis pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Hotel Marriot Putrajaya di sini hari ini.

Beliau menjadi panelis bagi sesi keempat bertajuk Institusi Raja Sebagai Pasak Negara.

Konvensyen tersebut adalah anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU), Majlis Dakwah Negara.

Sementara itu Rais berkata, orang Melayu perlu dan boleh menasihati Raja dan Raja pula boleh menasihat kerajaan merujuk kepada Perkara 40 dalam Perlembagaan Malaysia.

Jelas beliau, ketika ini nasihat hanya satu hala daripada kerajaan kepada Raja tetap tidak daripada Raja kepada kepada kerajaan.

“Sedangkan kita bertindak bagi pihak Raja sebab sejarah dahulu menyerahkan hak raja kepada pihak eksekutif.

“Saya berpendapat amat baik sekiranya Perkara 40 dan 153 iaitu hak istimewa Orang Melayu, Bumiputera dan kaum-kaum lain yang sah hak mereka diberi arahan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kuasa di bawah 153 cukup besar tetapi tidak pernah digunakan dan sebab itu kekuasaan Raja di bawah Perkara 153 mesti dilihat semula dan diterjemah kepada Perlembagaan.

“Data dan pencapaian aset orang Melayu hari ini kita tidak tahu sebanyak mana. Dulu diteka paras 20 peratus dan Tun Razak mengamanahkan sekurang-kurang 40 peratus.

“Saya berpendapat Melayu dan Bumiputera mesti memilikinya lebih 50 peratus sebab ini negara kita.

“Ini negara Melayu dan ini sejarah dan tradisi Melayu. Perkiraan data mesti ada dan bagaimana mewujudkannya kembali,” katanya. – MalaysiaGazette