Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini membentangkan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164) tanpa Fasal 88A seperti mana yang disebut dalam kenyataan media semalam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, pindaan terhadap Rang Undang-Undang ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Keputusan ini juga dibuat bagi memastikan tiada mana-mana pihak mencabar kesahihan undang-undang ini di bawah Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan telah meminda RUU tersebut untuk dibacakan kali pertama dan diperdebatkan dalam Sidang (Dewan Rakyat) kali ini dengan mengugurkan Fasal 88A.

Fasal itu digugurkan bagi mengelak amalan penukaran agama anak-anak secara unilateral iaitu dengan persetujuan sebelah pihak.

Semalam, Azalina berkata, pindaan terhadap akta berkenaan dibuat agar tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip doktrin stare decisis (dari satu Mahkamah Tinggi pada Mahkamah Rendah) yang mana keputusan Mahkamah tertinggi terhadap pentafsiran Klausa (4) Perkara 12 adalah terikat. – MalaysiaGazette