Foto Instagram Dato' Seri Vida

KUALA LUMPUR – Nampak gembira selalu dan selalu buat kelakar selain gemar memuatnaik video mengenai aktiviti dirinya di laman sosial Instagram milik beliau.

Itulah karekter jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida. Tapi alih-alih semalam pengasas produk kecantikan Vida Beauty itu  mengamuk sakan dan marah-marah pula.

Katanya yang sedang popular dengan lagu,  I Am Me ini, ada pihak tidak menghormati maruahnya sebagai seorang wanita berstatus janda.

Sampailah terkeluar luahan hati berbunyi, “Ingat saya gatal sangat ke nak laki?”

Minggu lalu nama Vida kecoh apabila apabila dia dikatakan menolak lamaran Rani Kulop selain kisah peribadinya yang sedang mengenali hati budi jejaka luar negara yang berusia 30an.

Vida, 46, juga mendedahkan dia sedang mencari bakal suami mengikut kriteria yang ditetapkan antaranya lelaki bermata kelabu.

Barangkali gara-gara isu itu, Vida tersinggung dengan sesetengah pihak termasuk penulis blog yang tidak menghormati dirinya dengan mengaitkan dia dengan lelaki.

Kata Vida, walupunpun dia sering dilihat gembira, namun adakalanya hati dia rapuh dan hanya orang yang betul-betul mengenalinya sahaja tahu perkara itu.

“Nak populariti? Ingat saya gatal sangat ke nak laki?

“Saya nak fokus perniagaan sayalah. Kalau ada jodoh, saya nak yang sanggup hidup dengan saya bukan setahun dua, tetapi yang boleh didik anak, aturkan empayar saya. Bukan senang,” itu antara yang ditulisnya menerusi keterangan video berdurasi seminit di Instagram itu.

Tambah Vida, dia penat membaca kisah-kisah peribadinya yang mengaitkan dirinya dengan lelaki dijaja sehingga menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita berstatus janda.

“Saya tak pasti ini satu fitnah atau apa tetapi apa yang boleh saya katakan, jika orang tak cukup kuat, dia akan down melalui semua ini.

“Dan saya juga manusia biasa, adakalanya tak cukup kuat untuk melalui semua ni,” katanya berceloteh.

Sementara itu, Vida sebelum ini mencuri perhatian netizen apabila memberitahu dia mencari ciri-ciri suami idaman yang bermata kelabu, kaya dan boleh menerima hobinya yang suka membeli-belah.

Akibat kenyataan itu dia mendapat lebih 50 e-mel lamaran daripada orang ramai termasuk dari Finland dan Scotland. – MalaysiaGazette