Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata umat Islam yang menyertai fahaman atheist perlu diperangi habis-habisan bagi membendung fahaman negatif itu dari terus berkembang.

Tegas Shahidan, fahaman atheis amat bahaya kerana ia jelas melanggar Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

“Kita mesti memburu mereka sebab negara ini negara beragama, kita agama Islam, kita ada agama lain, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya.

“Tidak ada yang tak beragama dan Perlembagaan menyebut bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain diamalkan dengan damai. Dia tak sebut pun atheis. Dia (atheis) melanggar Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Dilaporkan fahaman ateis atau satu bentuk kepercayaan yang menafikan kewujudan tuhan mula menular di negara ini malah dikatakan telah mengadakan himpunan pertamanya di ibu negara.

Pertubuhan itu  dipercayai telah diasaskan oleh Armin Navabi, individu kelahiran Tehran, Iran.

“Saya cadangkan kita buru habis-habisan dan minta tolong kami dan kenalpasti golongan-golongan ini.

“Kita kena kembalikan mereka balik dan perbetulkan akidahnya jika orang Islam sebab mereka bukan nak jadi Atheis tapi kekurangan ilmu agama.

“Sebab itu terpesong dengan pemikiran baru. Jadi di akhirat nanti kita juga akan persoalan apakah kita telah beri penjelasan sewajarnya kepada mereka,” jelas Ahli Parlimen Arau itu lagi.

Kerajaan sebelum ini berkata, akan menyiasat jika terdapat umat Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

Malah siasatan terperinci termasuk penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia adalah perlu kerana perkara itu melibatkan soal akidah umat Islam.

Lebih daripada itu, mufti dan exco kerajaan-kerajaan negeri turut diminta untuk memainkan peranan dalam mengenalpasti golongan ini.

“Jadi kepada mufti-mufti dan exco negeri supaya beri perhatian. Walaupun mereka sikit, kena buat cara berhemah. Jangan buat dengan cara yang menimbulkan simpati, nanti mereka popular pulak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.