Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi foto MOHD HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang membentangkan Rang Undang-Undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) 2017 membolehkan fungsi agensi keselamatan diperluaskan lagi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, RUU itu bagi memperkasakan pelaksanana kawalan di sempadan dara9t negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Pengoperasian AKSEM tanpa melibatkan pertambahan jawatan baharu sebaliknya mengguna pakai jawatan daripada agensi sedia ada yang diperkukuh,” ujarnya dalam sesi perbentangan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

RUU berkenaan turut membolehkan AKSEM melaksanakan operasi bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang sehingga ke garis sempadan negara membabitkan beberapa agensi.

Antara lain, AKSEM diwujudkan bagi mengawal kegiatan penyeludupan atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.

Malah kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pemerdagangan manusia, penyeludupan termasuk barangan bersubsidi serta kewujudan laluan tikus di sempadan negara juga boleh dibanteras.

AKSEM akan dilaksanakan dengan menaik taraf Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) yang dibentuk membabitkan 3 agensi induk iaitu polis, Jabatan Kastam dan Imigresen dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – MalaysiaGazette