Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh diiringi barisan peguam.

PULAU PINANG – Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan dua pemilik kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan semakan untuk membatalkan tempoh reman lima hari terhadap mereka.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed selepas mempertimbangkan hujah peguam tertuduh dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Abdul Wahab, mahkamah mendapati perintah reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown pada Sabtu lalu terhadap ketiga-tiga individu berkenaan bertentangan dengan Seksyen 117(5) Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, Abdul Wahab membenarkan SPRM mengemukakan semula permohonan tahanan reman ke atas Boon Poh, 65, dan dua beranak lelaki pemilik kilang berkenaan masing-masing berusia 70 dan 37 tahun di di Mahkamah Majistret di sini.

Pendakwaan berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala Boon Poh diwakili peguam Ram Karpal Sigh dan R.S.N. Rayer.

Sementara itu, pengurus dan pengarah kilang terbabit pula diwakili peguam Dev Kumaraendran dan Teh See Khoon.

Jumaat lalu, Boon Poh yang juga Pegerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri serta dua lelaki berkenaan ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung operasi kilang memproses habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini.

Sehari sebelumnya, kilang penghasilan penapis karbon itu diserbu SPRM serta beberapa agesi lain termasuk Jabatan Imigresen; Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana disyaki beroperasi tanpa lesen di atas tanah pertanian. – MalaysiaGazette