Diego Costa dakwa Chelsea perlakukan dirinya sebagai penjenayah di Stamford Bridge. - Daily Mail

LONDON – Diego Costa mendakwa dirinya dilayan seperti penjenayah oleh Chelsea di Stamford Bridge.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu kini bercuti di Brazil selepas pengurus, Antonio Conte memaklumkan dia boleh meninggalkan London.

Namun dalam satu temubual eksklusif bersama Daily Mail, Costa mendakwa dia memasang impian untuk kembali ke kelab asalnya, Atletico Madrid.

“Saya menunggu Chelsea untuk melepaskan saya. Kenapa mereka tidak mahu membenarkan berhijrah ke La Liga jika khidmat saya tidak diperlukan lagi di sini (Chelsea).

“Hasrat saya adalah mahu kembali ke Atletico. Saya sudah membincangkan mengenainya dengan Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia,” katanya.

Costa menegaskan dia sudah memaklumkan Marina: “Sekiranya pengurus tidak memerlukan khidmat saya, lepaskan saya kepada Atletico Madrid,”.

Bekas bintang Atletico Madrid itu mendakwa Chelsea memaksa dia berlatih dengan pasukan simpanan dan dilarang akses ke bilik persalinan pasukan utama.

“Saya juga tidak dapat berkomunikasi dengan rakan kesebelasan utama Blues. Saya bukan penjenayah, dan tidak adil saya diperlakukan sebegini,” katanya.

Daily Mail difahamkan tiada sebarang respon daripada Chelsea terhadap dakwaan pemain antarabangsa Sepanyol itu.

Costa berdepan denda  £300,000 (RM1.6 juta) selepas gagal menyertai sesi latihan bersama pasukannya dua minggu lalu.

Pemain yang memperoleh pendapatan  £150,000 (RM837,810) di Chelsea dikesan berparti di Brazil.

Sebelum ini, Conte menjelaskan Costa bukan sebahagian daripada rancangan masa depan kelab itu dan tidak akan berlatih dengan pasukan pertama. – MalaysiaGazette