Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kanan) pada Perasmian eVISA & eVCOMM di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 15 OGOS 2017

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak memuji strategi baharu Jabatan Imigresen dalam usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negara ini melalui penubuhan Lapan Hab Serantau eVisa atau eVISA Regional Hub.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu secara tidak langsung akan membuka dan meneroka peluang-peluang baharu yang lebih luas pasaran dengan anggaran lebih 100 juta diaspora dari 10 buah negara yang telah diberikan kemudahan eVISA.

Justeru melalui Hab Serantau eVISA itu, beliau percaya ia bakal memainkan peranan penting dalam memudahcara permohonan dan kelulusan eVISA kepada pemohon.

“Lantas bagi memantapkan lagi kesemua Hab Serantau tersebut, maka pada hari ini saya dengan sukacitanya mengumumkan pembukaan Dua Hab Serantau eVISA iaitu di Brazilia, Brazil dan Moscow, Rusia menjelang akhir tahun ini.

“Kedua-dua Hab Serantau eVISA ini, masing-masing akan memudahcarakan permohonan dan kelulusan eVISA bagi 10 warganegara tersebut di rantau Amerika Selatan serta Eropah Timur dan Asia Tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan eVisa dan Pusat Komunikasi eVisa (eVCOMM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib turut gembira apabila mengetahui bahawa Jabatan Imigresen Malaysia telah mengambil langkah-langkah tegas untuk memperkenalkan eVCOMM.

Katanya, pusat itu membolehkan pegawai jabatan itu memantau, mengawal dan memanfaatkan teknologi digital sebagai alat membuat keputusan untuk memastikan lalu lintas pengunjung ke Malaysia.

“Saya berharap pengenalan kemudahan canggih ini secara dramatik akan mengubah cara kerja Jabatan Imigresen dan meningkatkan keupayaannya untuk memantau semua data berkaitan visa dari seluruh dunia.

“Lebih-lebih lagi, saya percaya bahawa eVCOMM adalah platform strategik yang boleh dimanfaatkan oleh semua agensi berkaitan di Malaysia, yang semuanya saya anggap sebagai pautan penting dalam melindungi keselamatan negara kita yang cintai.

“Lantaran itu, saya percaya bahawa usaha ini akan membantu tugas pegawai Jabatan Imigresen, tidak kira di mana sahaja mereka berada, khususnya dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara kita,” tegas beliau. – MalaysiaGazette