Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman

MEKAH – Jemaah haji Malaysia diwajibkan sentiasa memakai gelang pengenalan diri baharu yang diperkenalkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi mengelak berdepan masalah semasa melaksanakan ibadah haji.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pemakaian gelang plastik berkualiti tinggi itu adalah langkah tambahan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memastikan keselamatan hampir 2 juta jemaah dari seluruh dunia yang akan mengerjakan Rukun Islam ke-5 itu.

Justeru katanya, pihak Tabung Haji (TH) akan mengedarkan gelang berkenaan kepada jemaah haji Malaysia, dan perlu dipakai berikutan langkah pihak berkuasa negara itu dalam meningkatkan aspek keselamatan dengan membuat pemeriksaan dan semakan di tempat awam termasuk di Masjidil Haram.

“Gelang ini diselaraskan dalam sistem e-hajj Arab Saudi dan ia ciri keselamatan baharu diperkenalkan tahun ini. Gelang berkenaan mempunyai kod respons pantas unik (QR Code) yang mengandungi butiran maklumat jemaah haji,” katanya pada taklimat kepada media pada Selasa.

Sebelum ini, jemaah haji Malaysia dibekalkan dengan gelang serta tali penyandang lencana pengenalan diri oleh Lembaga TH sebelum berangkat ke Tanah Suci ini.

Syed Saleh berkata, gelang baharu itu, yang dipakai seluruh jemaah haji seluruh dunia akan memudahkan pihak berkuasa Arab Saudi untuk mengenal pasti dan memastikan hanya jemaah yang sah semasa operasi Masyair ketika jemaah haji bergerak ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Gelang ini untuk memastikan tiada orang tidak diingini berada di kawasan peribadatan haji. Jadi, saya menasihati jemaah haji Malaysia supaya sentiasa memakai tag pengenalan diri dan gelang ini. Jika tidak memakainya, akan mengambil sedikit masa bagi pihak berkuasa untuk mengesahkan status mereka,” katanya.

Menurut portal Saudi Gazette, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Muhammad Saleh Bantan dilaporkan berkata 138,000 petugas ditempatkan di pelbagai bahagian pihak berkuasa untuk membantu memberi perkhidmatan kepada jemaah haji tahun ini.

Setakat 14 Ogos, seramai 570,568 jemaah haji tiba di Arab Saudi termasuk 564,239 jemaah yang menggunakan pengangkutan udara, 5,849 (pengangkutan darat) dan 480 (pengangkutan laut).

Dalam pada itu, Syed Saleh mengingatkan jemaah haji Malaysia supaya tidak terpengaruh atau menyertai mereka yang menghadiri perhimpunan atau perarakan yang tidak ada kaitan dengan ibadah haji.

“Jemaah haji Malaysia harus mengelak perkara ini yang mungkin boleh mengancam keselamatan mereka. Jangan pergi berdekatan atau ambil tahu kenapa mereka berkumpul sebaliknya jemaah perlu terus tumpu laksanakan ibadah,” katanya.

Sementara itu, Syed Saleh berkata setakat ini 70% daripada keseluruhan 30,200 jemaah Malaysia bagi musim haji 1438 Hijrah sudah berada di Tanah Suci dengan 1,783 masih di Madinah manakala selebihnya di Makkah.

Sehingga kini 80 penerbangan sudah membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, dan baki 32 penerbangan lagi akan tiba di kota suci ini secara berperingkat sehingga 26 Ogos, katanya.

Pada 18 Ogos ini beliau berkata, tiada lagi jemaah haji Malaysia di Madinah, dan semua mereka dan operasi musim haji akan bertumpu di Makkah. – BERNAMA