Wan Zulkiflee Wan Ariffin

KUALA LUMPUR – Ketika Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin mengambil alih sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional berhad (Petronas) pada April 2015, harga setong minyak mentah Brent jatuh kepada sekitar AS$55, separuh daripada tahap tahun sebelumnya.

Sepanjang bulan-bulan berikutnya, harga jatuh lebih jauh, memaksa beliau mengurangkan sebanyak AS$12 bilion daripada kos dan mengurangkan ribuan pekerjaan buat kali pertama di Petronas.

Petronas adalah syarikat minyak Malaysia yang menjadi penyumbang utama kepada bajet negara dan dan salah satu majikan terbesar di negara ini.

Semasa beliau memasuki tahun terakhir kontrak tiga tahun, Wan Zulkiflee berkata, Petronas berada dalam keadaan lebih baik untuk mengendalikan pasaran minyak yang tidak menentu, memberi tumpuan kepada kos, perniagaan margin tinggi dan kemungkinan aliran pertumbuhan baru seperti tenaga boleh diperbaharui.

“Harga yang lebih rendah memberikan kita peluang, sebab yang menarik untuk melakukan banyak perkara dengan cara yang berbeza,” kata Wan Zulkiflee, 57, dalam wawancaranya bersama Reuters.

Tambah beliau: “Kami perlu berubah mengikut masa … Saya tidak akan menolak portfolio produk yang bergerak ke hadapan, mungkin melihat tenaga diperbaharui. Kita perlu menyesuaikan diri.”

Beliau tidak memberi butiran jenis pelaburan terbaru Petronas, tetapi pada masa ini tumpuan dan belanja modal – berada di dalam perniagaan hiliran.

Ini bermakna Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) yang terletak Johor – projek bernilai AS$ 7 bilion di kawasan yang strategik di antara Selat Melaka dan Laut China Selatan, saluran minyak dan gas Timur Tengah ke China, Jepun dan Korea Selatan.

“RAPID akan menyediakan portfolio hiliran yang lebih besar, jadi ia akan lebih seimbang. Sektor hiliran akan memberi sumbangan kepada pendapatan. Ia memberikan kita lindung nilai semula jadi,” katanya.

RAPID merupakan kilang penapisan minyak dengan kapasiti 300,000 tong sehari dan kompleks petrokimia ini mampu menghasilkan 7.7 juta tan metrik setahun.

Awal tahun ini, Saudi Aramco bersetuju melabur sejumlah AS$$ 7 bilion di dalam projek ini.

Walaupun projek itu terdapat beberapa kelewatan kerana harga minyak yang rendah menyebabkan pelabur tarik diri, Wan Zulkiflee berkata, kilang penapis itu berada pada landasan untuk memulakan operasinya pada tahun 2019, diikuti dengan operasi petrokimia dalam tempoh 6 hingga 12 bulan selepas itu.

Tumpuan hiliran muncul ketika para penganalisis meramalkan Petronas akan menghasilkan kurang minyak pada masa akan datang. Pengeluaran minyak Malaysia telah merosot sejak sedekad yang lalu dan Petronas telah mengurangkan ‘rancangan antarabangsanya.

“Petronas akan menjadi ok (sehingga) penghujung dekad, tetapi selepas itu (pengeluaran minyak) akan menurun,” kata Maxim Petrov, penganalisis kanan Wood Mackenzie.

Katanya lagi: “Itulah jurang terbesar dalam portfolio minyak mereka. Mereka sangat fokus kepada gas.”

Petronas baru-baru ini memenangi tiga blok minyak dan gas di Mexico dan sedang mengkaji medan minyak di Iran.

Wan Zulkiflee menyertai Petronas pada tahun 1983 sebagai Jurutera Proses dan pernah mengetuai perniagaan hiliran.

Kontraknya dijangka berakhir pada Mac tahun depan.

Wan Zulkiflee tidak dapat menjangka apa yang akan dilakukan selepas itu – sama ada akan meneruskan tempohnya selepas Mac nanti. – MalaysiaGazette