KUALA LUMPUR – Pas sepakat untuk tidak menerima Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) yang diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di Dewan Rakyat, tengah malam 10 Ogos lalu.
Kesepakatan itu dicapai dalam Muzakarah Akta 164 yang diadakan secara tertutup di sebuah hotel di sini pada Rabu lalu.
RUU 164 ditolak kerana Pas beranggapan ia bercanggah dengan konsep kedaulatan Malaysia yang bercirikan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, selain mengenepikan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di dalam negeri baginda masing-masing.
Pas juga turut menyifatkan pindaan yang diluluskan itu sebagai menceroboh bidang kuasa dalam Senarai II Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan dan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah seperti dijamin oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan yang sama.
Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, RUU 164 bercanggah dengan prinsip perlembagaan dan sumpah Ahli Parlimen untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan.
Justeru, katanya, Rang Undang-Undang itu tidak sah dan hendaklah disemak semula oleh Dewan Negara yang sedang berlangsung sehingga Selasa ini.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa tersimpan di bawah Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan untuk menolak perkenan RUU 164.
Sehubungan itu, kata beliau, pada perjumpaan itu, Pas mencadangkan muzakarah berkenaan sebagai satu resolusi untuk menghormati kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama di dalam negeri baginda masing-masing dan undang-undang peribadi seorang muslim berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Dengan itu, ujar beliau, pihaknya mencadangkan agar pindaan kepada RUU 164 dan statut berkaitan seperti, perintah pembubaran perkahwinan sivil seorang mualaf yang dikeluarkan Mahkamah Syariah hendaklah diterima sebagai bukti konklusif oleh Akta 164 sebagai salah satu syarat untuk membubarkan perkahwinan sivil secara ex-parte melalui permohonan pendaftar perkahwinan sivil.
Dalam hal itu, kata Nasrudin, seorang mualaf tidak dijadikan satu pihak dalam prosiding di Mahkamah Sivil, tetapi boleh hadir sebagai seorang saksi untuk mengesahkan perintah Mahkamah Syariah.
“Cadangan juga turut mengaitkan, Akta 164 dan status berkaitan hendaklah mengandungi peruntukan yang mengarahkan pasangan terlibat untuk menghadiri sulh (mediasi) bagi menguruskan hal berkaitan agihan harta sepencarian, nafkah, hak penjagaan anak, hak pendidikan, alimoni dan remedi bersangkutan selepas perintah pembubaran perkahwinan sivil oleh Mahkamah Syariah disahkan oleh Mahkamah Sivil.
“Dalam hal ini, keputusan sulh (mediasi) itu hendaklah dimuktamadkan dalam bentuk perjanjian dan difailkan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, cadangan juga turut mahu pihak dianjurkan ke Forum Mediasi pada awalnya dan sekiranya tidak boleh mencapai atau membuat kesepakatan, maka tribunal sebagai jalan penyelesaian.
“Sebelum tertubuhnya kedua-dua (Mediasi dan Tribunal), kerajaan memerlukan satu Jawatankuasa Khas untuk meneliti persoalan iaitu bagaimana Bidangkuasa Federal dan Negeri boleh membenarkan Mediasi dan Tribunal ditubuhkan yang mempunyai Pengiktirafan dan Akreditasi dalam sistem Federalisma.
“Hasil dari kajian jawatankuasa ini dipersembahkan pada Majlis Raja-Raja Melayu supaya boleh tertubuhnya Mediasi dan Tribunal serta memilih mereka berkelayakan, di samping memberi jawatankuasa ini tempoh tiga tahun untuk meneliti undang-undang yang berkaitan dan usulkan pindaan undang-undang mana yang perlu untuk membenarkan Mediasi dan Tribunal,” katanya.
RUU 164 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said diluluskan pada jam 12.45 tengah malam 10 Ogos seleepas dibaca kali ketiga serta dibahaskan lebih empat jam.
Dengan lulusnya pindaan RUU itu, hak diberikan kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam bagi memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil mengikut peruntukan Subseksyen 51(1) Akta 164.
Menurut Nasrudin, Muzakarah Akta 164 itu turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad; Concerned Lawyer for Justice, Aidil Khalid; Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim, Abdul Rahim Sinwan; Pengerusi Malaysian Lawyer Circle, Lukman Sheriff; Sekretariat Ummah, Aminudin Yahya; dan Panel Penasihat LUHAM, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad; Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abd Samad; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyudin Hassan; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Khairudin at Takiri; Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad; dan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr. Nik Zawawi Salleh juga turut hadir.
Rumusan muzakarah itu mencapai kata sepakat, mengakui suatu pindaan terhadap undang-undang sedia ada sememangnya diperlukan, khususnya bagi menyelesaikan masalah status perkahwinan tergantung apabila seseorang bukan Islam yang pada awalnya berkahwin dalam perkahwinan sivil, memeluk agama Islam.
Bagimanapun, pindaan tersebut hendaklah mengambil kira hak dan kepentingan semua pihak, dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
Muzakarah juga sepakat mengatakan, kerajaan sangat tergesa-gesa meluluskan Pindaan Akta 164 tanpa melalui proses yang melibatkan pakar dan pihak yang berkepentingan. – MalaysiaGazette
















