Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid tiba di Mahkamah Rayuan, untuk memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi siasatan kes kerugian urusniaga mata wang asing AS$10 bilion (RM42.96 bilion) oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an, meneruskan prosidingnya secara terbuka hari ini, walaupun mendapat permintaan agar diadakan secara tertutup.

Prosiding yang bersambung petang ini selepas berehat pada jam 12.45 tengah hari tadi terhenti sekejap selepas peguam bagi BNM, Datuk Tan Hock Chuan mahu Pengerusi Panel RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mempertimbangkan permintaan itu.

Bagaimanapun, ia ditolak dengan alasan prosiding yang berlangsung itu tidak melibatkan mana-mana pihak dibicarakan.

Hock Chuan ketika mengemukakan permintaan itu, menyatakan dalam sesi siasatan itu akan melibatkan beberapa laporan yang telah ditetapkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak boleh didedahkan dalam pendengaran awam.

Beliau juga menyatakan, permintaan itu turut melibatkan kepentingan saksinya.

Petang ini, bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid akan memberi keterangan dalam prosiding yang turut dibarisi lima lagi panel RCI iaitu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad; Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail.

Pada 27 Januari lalu, Murad memberitahu sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai kerugian itu, yang kemudiannya menyebabkan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian dialami BNM beberapa dekad lalu.

Pasukan petugas khas itu kemudian mengesyorkan RCI ditubuhkan.

Murad yang mengakhiri perkhidmatan di BNM pada 1999 turut dilaporkan memberitahu, tiada sesiapa pernah disiasat atau didakwa atas apa yang disifatkannya sebagai kerugian urus niaga mata wang asing atau forex terbesar di dunia itu.

β€œIa hilang seperti itu saja. Tidak ada kawalan. Tidak ada kawalan dalaman dan tidak ada sesiapa tahu apa yang berlaku pada masa itu,” katanya dipetik dalam akhbar berkenaan. – MalaysiaGazette