Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Wanita Pakatan Harapan (PH) mahu kerajaan menggubal undang-undang memastikan seorang lelaki yang mahu berpoligami mampu daripada sudut kewangan.

Ini bagi memastikan hak-hak isteri pertama dan anak-anak tidak diabaikan apabila memberi kebenaran berpoligami kepada suami, kata ketuanya, Zuraida Kamaruddin.

“Oleh yang demikian, Wanita PH menolak undang-undang yang menekan hak-hak wanita atas alasan remeh.

“Wanita PH percaya terdapat langkah-langkah lain yang boleh digunakan untuk memastikan perkahwinan didaftarkan tanpa mengugat hak-hak wanita lain sekaligus memastikan undang-undang digubal selari dengan hukum syarie sedia ada,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Kedah, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid berkata, negeri Kedah akan menyelaraskan undang-undang syariah untuk hanya memaklumkan kepada isteri pertama jika suami berkahwin di luar negara dan persetujuan isteri pertama tidak diperlukan untuk perkahwinan tersebut.

Undang-undang yang bakal digubal itu bagi memastikan perkahwinan kedua didaftarkan.

Justeru, kata Zuraida, beberapa faktor penting perlu dipertimbangkan sebelum membenarkan poligami mengikut syariat Islam.

Dalam isu ini, walaupun kebenaran isteri pertama bukan satu kemestian namun persetujuannya adalah satu pra-syarat yang penting untuk menjamin kerukunan institusi kekeluargaan.

“Kebenaran ini adalah penting bagi memastikan hak-hak isteri pertama dan anak-anak seperti nafkah dan kebajikan terjamin dan terjaga.

“Isteri pertama harus dipanggil ke Mahkamah Syariah untuk diambil keterangan tentang kelayakan suami berpoligami supaya konsep keadilan yang disebut dalam al Quran, Surah An-Nisa ayat 3 dapat dilaksanakan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast