Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR- Parti Amanah Negara (PAN) menyambut baik penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) Memali dan sedia bekerjasama memberikan keterangan.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub bagaimanapun tidak mahu RCI dijadikan senjata politik pihak tertentu untuk mengaibkan sesetengah pemimpin pembangkang.

“Saya dan kami (PAN) bersedia memberikan keterangan kepada RCI jika dipanggil kerana ia adalah forum terbaik untuk menghuraikan kekeliruan rakyat berhubung isu tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir ialah Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Ketika peristiwa Memali, kedua-dua mereka antara pimpinan pemuda dalam Pas sekitar tahun 1985.

Bekas naib presiden Pas itu juga berharap RCI Memali dapat ditubuhkan secepat mungkin.

Salahuddin berkata, RCI merupakan platform terbaik merungkai kisah hitam yang tidur sejak beberapa dekad yang lalu itu dibongkar semula.

Beliau dalam masa yang sama mahu RCI turut ditubuhkan bagi menyiasat kes 1MDB dan MH370.

Apa pun, ramai melihat reaksi positif PAN terhadap RCI itu ada makna.

Walaupun ia memberi kesan negatif kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu namun ia menjadi modal untuk mereka mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang PRU-14.

Ini kerana laporan kertas putih Memali antara lain mendakwa Amanat Haji Hadi antara punca berlaku peristiwa Memali.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.