KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengalu-alukan cadangan DAP supaya Peguam Negara menyiasat pertubuhan itu yang menggelarkan sebagai ‘raja segala rasis di negara ini’.
Naib Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, Perkasa menggelarkan organisasi itu sedemikian kerana di negara ini wujud begitu banyak pertubuhan rasis, tetapi tidak berani berterus terang mengenainya.
“Perkasa bukan pertubuhan rasis. Kami dilabelkan sebagai rasis oleh pihak yang bimbang dengan kekuatan dan iltizam kami untuk memperjuangkan nasib agama Islam, pribumi dan tanah air yang cuba digugat oleh tindakan puak rasis yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, agama Islam, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Perkasa melaksanakan perjuangan ini dengan sikap menghormati hak-hak sah lain-lain rakyat Malaysia seluruhnya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini bermakna Perkasa memperjuangkan hak-hak pribumi dalam perlembagaan negara dan menghormati hak-hak sah lain-lain rakyat Malaysia dalam perlembagaan yang sama,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Ruhanie, visi dan misi perjuangan Perkasa termaktub dalam perlembagaan pertubuhan itu.
“Oleh itu, jangan DAP atau sesiapa pun cuba cari publisiti murahan menggunakan populariti Presiden kami, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dan Perkasa yang ratusan ribu ahlinya dari Perlis sampai ke Sabah.
“Dengan ini, Perkasa mencabar DAP yang kononnya bukan rasis untuk mengumumkan ia akan memansuhkan konsep Malaysian Malaysia berasaskan The Setapak Declaration.
“Kami cabar DAP mansuhkan Malaysian Malaysia kerana konsep inilah sumber kepada sikap DAP yang diragui oleh banyak pihak sebagai tidak sesuai dengan jati diri nasional Malaysia yang majmuk,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, jika DAP enggan memansuhkan konsep Malaysia Malaysia, ini bermakna parti cauvinis itu mungkin boleh dikategorikan sebagai parti politik yang sukar untuk diterima di Malaysia yang majmuk.
“Kami juga mendesak DAP memberikan kata putus kepada Perkasa, adakah kami rasis apabila kami pertahankan beberapa peruntukan perlembagaan mengenai pribumi seperti Perkara 153 dan lain lainnya?
“Tidak rasiskah pihak yang mempertikaikan peruntukan seperti ini?” soal beliau.
Beliau turut mencabar DAP supaya mendesak Peguam Negara menyiasat Hindraf yang pernah melobi komuniti dunia untuk mengisytiharkan Perlembagaan Persekutuan sebagai batal dan tidak sah. Adakah tindakan Hindraf itu bercorak nasional? Adakah ini tindakan rasis?
“Saya juga desak DAP supaya meminta Peguam Negara siasat lain-lain pertubuhan termasuk Dong Zhong untuk dipastikan label apa patut diberikan kepadanya, label rasis, cauvinis, nasionalis atau apa?
“Akhir sekali, saya tegaskan Perkasa adalah pertubuhan nasionalis pribumi yang pragmatik dan sentiasa menjunjung nilai teras Malaysia yang majmuk demi kelangsungan dan keselamatan nasional kita bersama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

















Comments are closed.