KUALA LUMPUR – Pengnarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abdul Samad berkata, beliau tidak pernah membuat kenyataan media kononnya parti itu sedia mengarahkan PKR keluar dari Pakatan Harapan (PH).
Kata beliau, kenyataan itu yang menggunakan namanya kini tular di media sosial, selain turut disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Untuk makluman, kenyataan itu adalah palsu dan bukan dari saya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Khalid, penubuhan PAN adalah untuk mengukuhkan muafakat antara parti pembangkang setelah Pakatan Rakyat (PR) berpecah.
Katanya, dengan kewujudan PAN, maka ditubuhkan PH untuk menyatukan kembali yang sudah berpecah.
“Pakatan Harapan yang asalnya terdiri daripada PAN, Keadilan (PKR) dan DAP. Kini dikukuhkan lagi dengan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” ujarnya.
Beliau yang juga Ahlil Parlimen Shah Alam memberitahu, komitmen PAN kepada konsep politik bergabung akan sentiasa melihat parti itu berusaha mengukuhkan muafakat dalam PH, bukan merobekkannya.
“Ini supaya perubahan dapat dilakukan dan demi menentang kerajaan kleptokrasi. Komitmen ini tidak pernah pudar jauh sekali berubah,” katanya. – MalaysiaGazette
















