KUALA LUMPUR – RHB Research Institute mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas AirAsia X Bhd walaupun keuntungan yang dikutip syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu kurang daripada unjuran.

Dalam notanya hari ini firma penyelidikan itu berkata AirAsia X menjajarkan tumpuannya kepada menambah muatan, yang sekali gus meningkatkan penguasaan pasaran.

“Ini dapat membangunkan kedudukan pasaran yang kukuh berbanding saingannya yang berpotensi di Malaysia (Malaysia Airlines) dan Thailand (Thai Lion Air),” katanya.

Ia juga berkata data tempahan juga menunjukkan strategi syarikat penerbangan itu berjaya dengan faktor muatan bagi tempoh lima bulan akan datang dalam julat antara 80 dan 83 peratus.

“Menurutnya, kami meningkatkan unjuran faktor muatan bagi 2017 dan 2018 kepada 82 peratus berbanding 80 peratus,” katanya.

RHB Research menyasarkan harga sasaran AirAsia X pada 46 sen.

Pada 11 pagi, saham-saham AirAsia X meningkat satu sen kepada 40 sen dengan 59.15 juta saham didagangkan.

Semalam, AirAsia X mengumumkan syarikat itu kembali mencatat keuntungan dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM27.95 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2017 berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM9.23 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil melonjak 17 peratus kepada RM1.04 bilion berbanding RM883.16 juta yang direkodkan sebelumnya susulan peningkatan 34 peratus jumlah penumpang hasil daripada penambahan kapasiit tempat duduk sebanyak 26 peratus.- BERNAMA