Chong Sin Woon

KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan menyeru masyarakat supaya memberi sokongan ke arah menambah baik keadaan sekolah, terutama di kawasan masing-masing, bagi membolehkan generasi muda menuntut dalam keadaan selesa.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, walaupun kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi kerja penyenggaran sekolah, termasuk peruntukan khas kepada sekolah bantuan kerajaan, masyarakat juga perlu memainkan peranan bagi memastikan pembangunan sekolah bergerak seiring dengan perkembangan masa.

“Pendidikan adalah untuk semua. Oleh itu, semua anggota masyarakat perlu tampil untuk membantu. Janganlah menunggu dana kerajaan semat-mata untuk menyenggara sekolah.

“Di bawah rangka tindakan pendidikan, kami juga menggalakkan sekolah bekerjasama dengan sektor swasta dan kini semakin banyak syarikat tampil ke hadapan serta bersedia untuk memberi bantuan dan sokongan kepada sekolah dari segi kewangan bagi mempercepatkan usaha menyenggara dan memajukan sekolah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek peruntukan khas kepada sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di sini hari ini.

Mengenai majlis berkenaan, Chong, yang juga Ketua Pemuda MCA, berkata parti itu akan terus memberi sokongan kepada SMJK di seluruh negara.
​​​​​​​
“Kami (MCA), akan meminta kerajaan supaya terus memberi sokongan kepada SMJK kerana kesemua sekolah jenis itu menggunakan kurikulum kebangsaan dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi (di dalam kelas). Cuma, mereka mempunyai kelas tambahan bagi bahasa Cina.

“Oleh itu, mereka (SMJK) samalah seperti sekolah kerajaan lain juga dan kita perlu bantu mereka,” katanya.

Sebanyak RM1.43 juta disalurkan kepada lapan SMJK di Sabah – SMJK Tinggi Kota Kinabalu; SMJK Shan Tao, Kota Kinabalu; SMJK Lok Yuk, Likas,; SMJK Lok Yuk, Kudat; SMJK Ken Hwa, Keningau; SMJK Chung Hwa, Tenom; SMJK Sung Siew, Sandakan dan SMJK Tiong Hua, Sandakan.

Chong berkata penyerahan cek kepada lapan sekolah berkenaan adalah untuk menyempurnakan pemberian bantuan khas berjumlah RM15 juta kepada 81 SMJK di seluruh negara tahun ini. – MalaysiaGazette