KUALA LUMPUR – Pas kesal dengan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris dari Singapura yang mendakwa presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sering berhubung dengan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Laporan itu mendakwa Abdul Hadi dan Najib merancang untuk menawan Selangor dari Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.
Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, media luar negara (Singapura) semakin berani melaporkan perkara tidak benar dan melampau bagi tujuan untuk melagakan parti itu dengan UMNO dan PH.
“Ini fitnah besar. Ahli parti jangan merujuk sumber-sumber musuh. Rujuk sumber rasmi parti. Jangan kita pening kepala,” katanya di munaqasah ucapan dasar presiden di Pusat Pentadbiran Pas Kelantan (Putik) dekat Kota Bharu, semalam.
Beliau berkata demikian merujuk laporan akhbar berkenaan kononnya Abdul Hadi dan Najib berbincang untuk menjatuhkan kerajaan PH Selangor dan turut mendakwa kedua-dua pemimpin berhubung hampir setiap malam.
Menurut Tuan Ibrahim, Pas mahu menang di sebuah negeri yang dipertandingkan, termasuk mempertahankan kemenangan parti itu di Kelantan.
Mengenai PRU 14, beliau menjangka Dewan Rakyat dibubarkan selepas pembentangan Bajet 2018 Oktober ini.
Sementara itu, di Terengganu, Abdul Hadi mengingatkan pengamal media agar membuat laporan dengan tepat dan betul supaya hubungannya dengan parti politik tidak putus.

Berucap pada Majlis Makan Malam Amal Media anjuran bersama Unit Media, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan Lajnah Penerangan Hubungan Media PAS Terengganu, Abdul Haji yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, parti itu tidak pernah bermusuh dengan rakan media.
“Kita sedar media memainkan peranan penting dalam masyarakat untuk membuat laporan yang betul dan tepat. Walaupun kita menyedari kekangan terhadap media berlaku dalam dunia, banyak negara termasuk negara kita.
“Namun, hubungan kita dengan media tidak putus. Dalam banyak-banyak yang dilaporkan itu sudah pasti ada yang sampai kepada masyarakat. Walaupun beberapa perkara yang kita tidak puas hati tapi ada perkara yang boleh disampaikan kepada masyarakat. Ini sangat penting,” katanya. – MalaysiaGazette

















sebenarnya media massa pembangkang dan ejennya berusaha untuk jatuhkan PAS dan Umno kerana mereka tahu tidak berupaya untuk melawannya.