Iskandar A. Samad

KUALA LUMPUR – Pas Selangor yakin tidak akan berlaku perpecahan undi jika ada pertandingan tiga penjuru antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Rekod kekalahan Pas kepada calon BN dan Parti Amanah Rakyat (PAN) dalam pertandingan tiga penjuru Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar di Perak Ogos tahun lalu bukan kayu pengukur untuk PRU14.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd. Samad menjelaskan, pilihan raya kecil itu tidak akan mengubah kerajaan, tetapi pada PRU14 ini pengundi lebih teliti kerana mereka akan memilih kerajaan untuk lima tahun akan datang.

“Saya yakin majoriti rakyat Selangor akan mengundi untuk mengekalkan kerajaan negeri hari ini. Mereka akan mengundi parti yang dilihat akan membentuk kerajaan negeri.

“Kerajaan Selangor telah melaksanakan banyak program untuk membantu rakyat sejak 2008. Mereka telah melakukan hampir segala-galanya dalam bidang kuasa mereka.

“Kajian terkini Merdeka Centre menunjukkan majoriti rakyat Selangor berpuas hati dengan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT). Realitinya UMNO atau mana-mana parti lain tidak ada isu kukuh untuk menumbangkan kerajaan negeri ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Iskandar menjelaskan, setelah terlepas dari cengkaman UMNO pada tahun 2008, rakyat Selangor tidak lagi mahu kembali ke zaman pemerintahan parti itu.

Katanya, walaupun kerajaan Selangor diserang dari setiap penjuru, ia tidak akan dapat menutup “jenayah” UMNO terhadap rakyat negeri itu sebelum ini.

“Adalah tidak masuk akal kalau ada tuduhan mendakwa Pas mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO untuk menawan Selangor dan dakwaan ini sebagai satu usaha pihak tertentu untuk memburukkan imej Pas.

“Pada saya, ianya semata-mata laporan berbentuk spekulasi yang dibuat tanpa sebarang bukti kukuh,” katanya yang tidak menolak kemungkinan ia satu konspirasi antarabangsa untuk menyerang Pas dari dalam dan luar negara sepertimana dakwaan Sarawak Report.

Kata Iskandar yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, parti itu tidak akan bekerjasama dengan UMNO yang sarat dengan pelbagai masalah dan ditolak pula oleh rakyat Selangor sebanyak dua kali dalam PRU 2008 dan 2013.

“Selain itu, berdasarkan sokongan rakyat Selangor, ia padu bersama kerajaan negeri hari ini, manakala kajian sebuah badan bebas, menunjukkan hanya kurang dari 10 peratus rakyat Selangor tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast