Noh Omar

SHAH ALAM – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, beliau mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdebat kerana mahu memberi fakta yang tepat kepada Menteri Besar Selangor itu.

Beliau berkata, Mohamed Azmin dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abd. Samad bercakap mengenai Projek Perumahan Rakyat (PPR) tanpa menggunakan fakta yang betul.

“Saya cabar dia debat (kerana) nak perbetulkan fakta. Sebab itulah saya nak cabar dia untuk forum, berdebat. Bukan apa, saya nak betulkan fakta.

“Saya tengok MB cakap fakta pun tak betul.. kemudian Exconya (Iskandar) lagilah, dia lagi tak tahu apa yang dia cakap,” katanya kepada media sebelum berlepas ke tanah suci Mekah di sini, semalam.

Isnin lalu, Noh dalam majlis ramah mesra dan penyerahan kunci PPR Lembah Subang 2, mencabar Mohamed Azmin Ali berdebat mengenai pengurusan PPR.

Beliau dilaporkan berkata, cabaran itu dibuat kerana sejak akhir-akhir ini kerajaan negeri Selangor dan Mohamed Azmin sering mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan termasuk menyalahkan kerajaan pusat berhubung masalah PPR di negeri itu.

Dengan nada sindir, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, jika tidak tahu fakta dengan tepat, bagaimana hendak mentadbir sebuah negeri yang maju.

Beliau memberi contoh, Menteri Besar itu boleh saja mendesak kementeriannya menjual rumah PPR kepada kerajaan negeri.

“Senang saja, dia tak perlu desak saya. Kalau saya jadi dia (menteri besar), saya akan jual rumah PPR Kota Damansara dan PPR Hicom.

“Kalau saya Menteri Besar dah lama saya jual (dua PPR itu), tapi kenapa dia (Mohamed Azmin) tak jual?

“(Sebaliknya) yang terbaharu saya dengar, ada penyewa tidak bayar sewa rumah pun hendak dikeluarkan,” jelas beliau.

Noh memberitahu, rakyat Malaysia beruntung mempunyai Perdana Menteri seperti Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa mengambil berat mengenai masalah rumah PPR untuk golongan miskin.

“Saya tengok pasal perumahan rakyat ni dekat di hati PM, juga dekat di hati saya untuk kita nak bantu seberapa yang boleh untuk rakyat dapatkan rumah PPR,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast