Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Berikutan pendedahan Rafizi berkenaan perpecahan kepada dua kelompok dalam PKR semalam, kredibiliti parti itu yang bercita-cita mahu menerajui kerajaan bakal dinilai oleh rakyat.

Menurut Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak, masalah dalaman parti, berkenaan perbezaan pendapat yang berlaku sehingga menyebabkan perpecahan dalam PKR, menunjukkan parti itu tidak layak untuk menerajui kerajaan sekiranya diberi peluang.

Menurutnya dalam sidang media hari ini, rakyat akan melihat dan menilai perpecahan yang berlaku dalam parti pimpinan Datuk Seri Anwar ini.

“Apa yang didedahkan oleh Rafizi, perpecahan dua dalam parti tersebut, berkaitan dengan hubungan mereka dengan Pas, dan beliau juga menamakan individu-individu yang berkenaan yang mempunyai pandangan berbeza.

“Pada saya, rakyat boleh menilai, kalau masalah begini pun mereka tidak boleh selesaikan, bagaimana jika mereka diberi peluang menerajui kerajaan pula? Masalah dalam parti pun tak boleh selesai,” katanya.

Terdahulu, Rafizi dalam kenyataannya mendedahkan bahawa parti itu mengalami perpecahan dalam kalangan pemimpin-pemimpin tertingginya.

Ia berikutan pendirian parti sama ada mahu meneruskan atau terus menolak kerjasama dengan Pas di Selangor bagi menghadapi PRU ke-14. – MalaysiaGazette