PETALING JAYA – Tiada kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Pas.
Demikian keputusan yang dicapai pemimpin tertinggi empat parti komponen pembangkang dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) parti itu semalam.
Dalam kenyataan bersama antara PKR, Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP, mereka sepakat memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Selain itu, MPPH juga mengumumkan kesediaan Harapan menghadapi sebarang pertandingan tiga penjuru, jika berlaku pada PRU14 ini.
“PH sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Harapan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan tiga Timbalan Presiden Harapan iaitu
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
Keputusan itu dijangka meredakan polemik dalam PKR yang kini rancak berdebat sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Pas.
Pas sebelum ini memutuskan kerjasama politik dengan DAP dan PKR menerusi dua muktamarnya dan tidak menyertai gagasan pembangkang iaitu PH. – MalaysiaGazette
















