Home Dunia Korea Utara hina negara-negara jiran, PBB

Korea Utara hina negara-negara jiran, PBB

WASHINGTON – Presiden Donald Trump, berkata pelancaran peluru berpandu terbaharu oleh Korea Utara merupakan satu penghinaan terhadap jiran-jirannya dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, tindakan Korea Utara itu hanya akan meningkatkan pengasingan dan meletakkan “semua pilihan” berada di atas meja.

Korea Utara melepaskan peluru berpandu semalam dengan melintasi pulau utara Hokkaido di Jepun sebelum terhempas di utara Lautan Pasifik.

Agensi berita rasmi Korea Utara memaklumkan pelancaran itu adalah maklum balas secara langsung terhadap latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Menurut KCNA, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menggelar pelancaran itu sebagai “permulaan yang bermakna untuk Guam”, wilayah Amerika Syarikat.

Agensi berita yang dikendalikan oleh kerajaan itu berkata, Jong-un telah mengarahkan lebih banyak latihan roket yang mensasarkan kawasan tersebut.

KCNA berkata, pelancaran itu telah disasarkan untuk mendarat sempena ulang tahun Perjanjian Jepun-Korea pada 1910, yang menyaksikan tentera Jepun bersekutu di Semenanjung Korea.

Susulan pelancaran peluru berpandu itu, Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat kecemasan sebagai tindak balas kepada pelancaran itu.

Menjelang pertemuan itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, pelancaran peluru berpandu tersebut melemahkan keamanan dan kestabilan serantau.

Beliau menyeru Pyongyang untuk mematuhi tanggungjawab antarabangsanya.

Tetapi Rusia dan China pula menyifatkan latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan sebagai punca ketegangan terkini.

Trump dalam kenyataannya berkata, dunia telah menerima mesej terkini Korea Utara dengan kuat dan jelas.

“Rejim ini telah menunjukkan penghinaan terhadap jiran-jirannya, untuk semua anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan untuk piawaian minimum tingkah laku antarabangsa yang boleh diterima,” katanya. – MalaysiaGazette