Kemeriahan pertunjukan bunga api menjelang majlis penutup Sukan SEA Kuala Lumpur ke--29 sekaligus merasmikan sambutan Hari Kemerdekaan ke 60 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Tirai temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang dibuka sejak 15 Ogos lalu akhirnya ditutup secara rasmi di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Lebih 80,000 penonton menyaksikan majlis penutupan KL2017 bertemakan Bangkit Bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang.

Kemuncak upacara penutup rasmi KL2017 apabila obor temasya dipadamkan bagi menandakan berakhirnya kejohanan itu selama 16 hari.

Filipina akan menjadi tuan rumah pada edisi ke-30 pada tahun 2019.

Namun lebih manis, Malaysia menjulang gelaran negara sukan terbaik Asia Tenggara dengan meraih sebanyak 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Pingat emas ke-145 Malaysia dan emas terakhir sukan itu dimenangi oleh pasukan peluncur laju negara yang dianggotai Wong De-Vin, Ariff Rasydan Fadzli, Hazim Shahrum dan Khairil Ridhwan Khalil hari ini.

Jumlah pingat emas itu mengatasi sasaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak 111 pingat emas membabitkan penyertaan kira-kira 5,000 atlet dari 11 negara dalam 404 acara daripada 38 jenis sukan.

Dengan jumlah keseluruhan 323 pingat temasya kali ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Sukan SEA.

Antara tetamu kehormat yang hadir isteri Perdana Menteru, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan barisan menteri kabinet.

Ini adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dengan kali terakhir pada tahun 2001 yang ketika itu memungut 111 pingat emas sekaligus muncul juara keseluruhan.

Sementara itu, seperti dijangka, kecanggihan teknologi yang dimiliki Stadium Nasional Bukit Jalil terutama dari segi pencahayaan dan bunyi sekali lagi telah memukau upacara penutup itu.

Pasukan sukarelawan seramai 20,000 orang turut memberi persembahan dengan membuat formasi tulisan ‘WAU’.

Selain itu, sempena Di Ambang Merdeka juga, konsep persembahan pelbagai kaum dan lagu-lagu rakyat mencuri perhatian penonton selain penampilan penyanyi popular.

Kemunculan barisan artis popular seperti Ella, Amy Search, Jaclyn Victor, Datuk Aznil Nawawi, Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Jay Jay dan David Arumugam menggamit nostalgia penonton.

Acara perarakan kontinjen pula dimulakan oleh Malaysia sebagai juara keseluruhan dan diikuti kontijen lain seperti Brunei, Kemboja, Indonesia dan Laos serta diteruskan dengan kontinjen Myanmar, Thailand, Timor Leste, Vietnam.

Penonton tuan rumah bersorak ketika kontinjen Malaysia memasuki stadium dan suasana  menjadi gamat apabila penonton semua bangun untuk memberi penghormatan kepada kontinjen Malaysia yang diwakili 844 atlet dan 390 pegawai yang mengenakan pakaian baju sukan Harimau.

Dalam pada itu, Thailand berada di tempat kedua keseluruhan dengan 246 pingat termasuk 72 pingat emas, 86 perak dan 88 gangsa, manakala Vietnam 58 emas, 50 perak dan 60 pingat gangsa. – MalaysiaGazette