Raja Kamarul Bahrin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera dan tegas menyelamatkan etnik Rohingya Myanmar yang sedang dibunuh beramai-ramai.

Setelah kerajaan Myanmar angkuh dan kejam tidak mendengar bantahan suara negara antarabangsa, sudah sampai masanya Malaysia memanggil sidang khas Parlimen bagi membahaskan isu pembunuhan itu.

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (PAN), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, pihaknya bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyerahkan memorandum di Kedutaan Myanmar di ibu kota semalam, berdepan dengan sikap angkuh pegawai kedutaan itu yang hanya menghantar kakitangan bawahan untuk menerima memo berkenaan.

“Saya bersama NGO diketuai Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hadir di Kedutaan Myanmar semalam, untuk menyampaikan memorandum mengenai Rohingya.

“Pegawai kedutaan itu telah menunjukkan sikap tidak menghormati rombongan kami dengan hanya menghantar kakitangan bawahan menerima memo tersebut. Ini amat mendukacitakan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu memberitahu, beliau telah membawa satu usul khas di Parlimen tahun lepas untuk membahas pembunuhan dan kekejaman ke atas etnik Rohingya di Myanmar.

Malangnya kata beliau, usul itu telah ditolak dan hari ini kerajaan patut bertanggungjawab atas apa yang berlaku kerana Malaysia adalah penyokong kuat kemasukan Myanmar dalam ASEAN.

Menurutnya, Malaysia juga berusaha keras untuk pembebasan Aung San Suu Kyi dari penahanan tentera Myanmar sehingga beliau menjadi Perdana Menteri Myanmar hari ini.

“Kegagalan kerajaan membahas dan membuat pendirian rasmi yang tegas di Parlimen tahun lepas telah melihat pembunuhan lebih ganas dan meluas oleh tentera Myanmar.

“Menjelang Hari Raya Korban esok, begitu ramai etnik Islam Rohingya yang kecil, tua dan wanita di korbankan oleh Junta tentera Myanmar secara terancang.

“Apakah kita negara majoriti rakyat Islam masih berdiam diri sementara Pope Francis dari Vactican telah mengumumkan akan ke Myanmar dalam waktu terdekat kerana krisis kemanusiaan yang makin meruncing?” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast