Sohaimi (dua dari kiri) bersama masyarakat Cina dan kepimpinan KRT di sebuah kedai di Selayang.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah mereka cerita setiap kali mengatakan kepada rakyat pembangkang tidak mempunyai pakatan yang kuat dan sentiasa berpecah.

Ini kerana, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sendiri mengakui kata-kata pemimpin UMNO selama ini mengenai keadaan pembangkang yang berpecah dan bergolak sesama sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pergolakan terbaharu peringkat dalaman pembangkang membuktikan parti itu umpama dahan yang rapuh dan tidak mampu menjadi penyelamat kepada rakyat.

Apatah lagi katanya, kepincangan demi kepincangan yang didedahkan pemimpin kanan PKR itu wajar dinilai oleh rakyat.

“Bagi saya, UMNO tidak mengambil kesempatan terhadap kemelut pembangkang, sebaliknya mahukan rakyat bermuhasabah dan membuat penilaian dengan sematang-matangnya.

“Satu kapal sepatutnya satu nakhoda, tetapi pembangkang ibarat satu kapal banyak nakhoda, macam mana mahu belayar.

“Pemimpin PKR hanya mendengar kata Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja. Pemimpin komponen pembangkang juga mahu ikut ketua masing-masing. Sebab itu mereka sentiasa bergolak.

“Ini termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih sayangkan Pas, tetapi Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkeras menolak Pas,” katanya pada majlis pertemuan dengan kepimpinan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Parlimen Selayang, semalam.

Ditanya berhubung dakwaan Mohamed Azmin kononnya ada gangguan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak syarikat kerajaan Selangor, Sohaimi berkata, tuduhan itu membuktikan Menteri Besar itu bersikap pra-matang.

Dakwanya, kenyataan kebudak-budakan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang menteri besar.

“Biasalah perangai pembangkang, bila terpalit di muka sendiri macam-macam mereka tuduh pada SPRM. Bila SPRM menyiasat pemimpin kerajaan ataupun UMNO dia kata macam-macam juga walaupun hanya di peringkat siasatan.

“Saya nak bagitau Mohamed Azmin, berjiwa besarlah, jangan jadi budak-budak. SPRM siasat siapa saja tidak kira UMNO, Pas, PKR, DAP mahupun PAN (Parti Amanah Negara). Pemimpin UMNO tidak pernah ganggu siasatan SPRM. Kita terbuka dan telus dalam mencari kebenaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast