Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan membidas Pakatan Harapan (PH) dengan mendakwa bukan mereka yang mahukan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bercakap pada sidang media parti PAS dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) di Ibu Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MEI 2017

Takiyuddin berkata, Pas tidak ada hasrat untuk menjalin kerjasama dengan PH dan menggesa gabungan pembangkang itu tidak mengaitkan mereka dengan sebarang kerjasama.

“Saya harap parti-parti dalam Pakatan Harapan, sekiranya menghadapi masalah dalaman, mereka boleh selesaikan secara sendiri tanpa membabitkan Pas. Jangan mempergunakan Pas apabila ada masalah,” Takiyuddin dipetik berkata.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin, untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Pas pada PRU14.

Terdahulu kemelut dalam PH tercetus selepas PKR menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ditempelak apabila cuba membuat rundingan secara pintu belakang tanpa pengetahuan parti komponen PH dengan Pas.

Namun, mesyuarat PH memutuskan mereka tidak akan bekerjasama dengan Pas, malah melantik Mohamed Azmin sebagai Pengerusi PH Selangor.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, disebabkan tiada hubungan kerjasama yang terjalin dengan mana-mana parti, Pas kemungkinan akan bertanding lebih banyak kerusi pada PRU kali ini berbanding PRU lalu.

“Selain di Selangor dan Kelantan yang menerima mandat daripada rakyat, Pas dan Pakatan Harapan tidak mewujudkan apa-apa kerjasama politik.

“Pas pun tidak ada kerjasama politik dengan BN. Calon-calon Pas akan bertanding di kawasan-kawasan yang majoritinya pengundi Melayu, oleh itu, lawan Pas sudah tentu datangnya daripada BN,” jelasnya.

Takiyuddin turut meramalkan pada PRU14, pertandingan lebih daripada tiga penjuru akan berlaku di kebanyakan kawasan.

“Sekiranya Pakatan Harapan ingin mengelak berlakunya pertandingan tiga penjuru, mereka diminta jangan meletakkan calon di kawasan-kawasan yang ditandingi Pas.

“Pas tidak akan berkompromi dalam hal ini,” kata Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu. – MalaysiaGazette