Bukhori Ghazali

KUALA LUMPUR – Pas Pulau Pinang merayu rakyat negeri itu memberi peluang kepada parti berkenaan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengarah Pilihan Raya negeri, Bukhori Ghazali berkata, jika Pas menang dan berjaya mengambil alih Pulau Pinang dari DAP, parti itu berjanji memerintah mengikut Islam iaitu berlaku adil untuk semua.

Katanya, walaupun Pas sedar akan berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), tetapi demi mempertahankan prinsip, parti itu sedia menghadapi apa sahaja cabaran.

“Saya mohon, saya minta… untuk PRU14 ini berilah Pas peluang (menang). Kita akan buktikan, kita akan tunjukkan bila Islam memerintah akan berlaku adil untuk semua.

“Kita sedar, cabarannya besar nanti, namun demi mempetahankan prinsip, Pas sedia menghadapi apa saja cabaran,” katanya dipetik menerusi status yang dimuat naik dalam facebooknya, hari ini.

Menurut Bukhori, Pas ada prinsip dan tidak akan sekali-kali menggadaikannya semata-mata hanya untuk ke Putrajaya dan memenangi PRU.

Sebab itu, katanya, jika diimbas kembali ketika bersama rakan pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR), Pas kekal dengan dasar bersama iaitu setuju untuk tidak bersetuju.

“Menerusi dasar ini, Pas tidak setuju dengan DAP sebab parti itu mengamalkan Malaysian Malaysia, sebuah dasar yang sebenarnya mengancam kedudukan orang Melayu.

“Begitu juga DAP tidak setuju dengan Pas yang menjadikan Islam satu dasar. Tetapi Pas tidak pernah mengganggu, tidak pernah kacau dasar DAP, sebab kita faham kita ada dasar bersama yang lebih besar.

“Dasar itu ialah kita nak runtuhkan kezaliman. Kita nak tingkatkan keadilan. Sebab itu Pas tidak pernah mengganggu DAP,” katanya.

Bagaimanapun, kata Bukhori, lama kelamaan apabila DAP dikuasai orang berfahaman liberal, secara perlahan-lahan dasarnya bertukar.

Jelas beliau, ia bermula dengan DAP Sarawak memutuskan hubungan dengan Pas Sarawak ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Selepas itu, ujar beliau, DAP Sabah pula memutuskan hubungan dengan Pas Sabah dan kemuncaknya berlaku pada Majlis Pimpinan DAP Pusat yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat Pulau Pinang memikirkan sendiri pada PRU 14 ini, sama ada masih mahukan DAP atau memberi peluang kepada Pas untuk menang dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast